Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Jika ada para pendakwah yang merasakan kekeringan ruhiyah, kegersangan ukhuwwah, kekerasan hati, hasad, perselisihan, pergeseran dan perbezaan pendapat yang mengarah kepada permusuhan, bererti ada masalah besar dalam tubuh mereka dan itu tidak boleh dibiarkan serta memerlukan penyelesaian yang tepat dan segera. Jika merujuk kepada Al-Qur’an dan Sunnah, kita akan menemui pangkal kepada masalahnya, iaitu hati yang rosak kerana kecenderungan kepada syahwat.
“Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Al-Hajj: 46).
Rasulullah saw. bersabda, “Ingatlah bahwa dalam tubuh ada segumpal daging, jika baik maka seluruh tubuhnya baik; dan jika buruk maka seluruh tubuhnya buruk. Ingatlah bahwa segumpul daging itu adalah hati.” (Muttafaqun ‘alaihi).
Imam Al-Ghazali pernah ditanya, “Apakah mungkin para ulama (para da’i) saling berselisih?” Ia menjawab,” Mereka akan berselisih jika masuk pada kepentingan dunia.”
Oleh yang demikian, pengubatan hati harus lebih diutamakan dari pengubatan fizikal. Hati adalah pangkal segala kebaikan dan keburukan dan ubat hati yang paling mujarab hanya ada dalam satu perkataan iaitu : “IKHLAS”
Kedudukan Ikhlas
Ikhlas adalah buah dan intisari dari iman. Seseorang tidak dianggap beragama dengan benar jika tidak ikhlas.
Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162).
Surat Al-Bayyinah ayat 5 pula menyatakan, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.”
Rasulullah saw. bersabda, “Ikhlaslah dalam beragama; cukup bagimu amal yang sedikit.”
Tatkala Jibril bertanya tentang ihsan, Rasulullah saw. berkata, “Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihatmu.”
Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan mengharap ridha-Nya.”
Fudhail bin Iyadh memahami perkataan “ihsan” dalam firman Allah surah Al-Mulk ayat 2 yang berbunyi, “Liyabluwakum ayyukum ahsanu `amala, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya” dengan makna “akhlasahu” (yang paling ikhlas) dan “ashwabahu” (yang paling benar). Katanya, “Sesungguhnya jika amal dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar, maka tidak diterima. Dan jika amal itu benar tetapi tidak ikhlas, juga tidak diterima sehingga amal itu haruslah ikhlas dan benar. Ikhlas jika dilakukan kerana Allah Azza wa Jalla dan benar jika dilakukan sesuai dengan sunnah.”
Imam Syafi’i pernah memberi nasihat kepada seorang temannya, “Wahai Abu Musa, jika engkau berijtihad dengan sebenar-benar kesungguhan untuk membuat seluruh manusia ridha (suka), maka itu tidak akan terjadi. Jika demikian, maka ikhlaskan amalmu dan niatmu kerana Allah Azza wa Jalla.”
Oleh kerana itu tidak hairan jika Ibnul Qoyyim memberi perumpamaan seperti ini, “Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantongnya dengan kerikil pasir yang akan memberatkannya tapi tidak bermanfaat.” Dalam kesempatan lain beliau berkata, “Jika ilmu bermanfaat tanpa amal, maka tidak mungkin Allah mencela para pendita ahli Kitab. Jika ilmu bermanfaat tanpa keikhlasan, maka tidak mungkin Allah mencela orang-orang munafik.”
Makna Ikhlas
Secara bahasa, ikhlas bermakna bersih dari kotoran dan menjadikan sesuatu itu bersih dan tidak kotor. Maka orang yang ikhlas adalah orang yang menjadikan agamanya murni hanya untuk Allah sahaja dengan menyembah-Nya dan tidak menyengutukan dengan yang lain dan tidak riya’ dalam beramal.
Manakala secara istilah, ikhlas bererti niat mengharapkan ridha Allah sahaja dalam beramal tanpa menyengutukan- Nya dengan yang lain. Memurnikan niatnya dari kotoran yang boleh merosakkan.
Seseorang yang ikhlas ibarat orang yang sedang membersihkan beras (tampi beras) dari kerikil-kerikil dan batu-batu kecil di sekitar beras. Maka, beras yang dimasak akan menjadi nikmat untuk dimakan. Tetapi jika beras itu masih kotor, ketika nasi dikunyah akan tergigit kerikil dan batu kecil.
Demikianlah keikhlasan, menyebabkan beramal menjadi nikmat, tidak membuatkan ia penat dan segala pengorbanan tidak terasa berat. Sebaliknya, amal yang dilakukan dengan riya’ akan menyebabkan amal tidak terasa nikmat. Pelakunya akan mudah menyerah dan selalu kecewa.
Oleh kerana itu, bagi seseorang da’i makna ikhlas adalah ketika ia mengarahkan seluruh perkataan, perbuatan dan jihadnya hanya untuk Allah, mengharap ridha-Nya dan kebaikan pahala-Nya tanpa melihat pada kekayaan dunia, penampilan, kedudukan, sebutan, kemajuan atau kemunduran. Dengan demikian para da’i akan menjadi tentera fikrah dan akidah, bukan tentera dunia dan kepentingan.
Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku.”
Da’i yang mempunyai karakter seperti itulah yang mempunyai semboyan `Allahu Ghayaatunaa` , Allah tujuan kami dalam segala aktiviti bagi mengisi kehidupannya.
Buruknya Riya
Makna riya’ adalah seorang muslim memperlihatkan amalnya pada manusia dengan harapan mendapat pangkat, kedudukan, pujian dan segala bentuk keduniaan lainnya. Riya’ merupakan sifat atau ciri khas orang-orang munafik.
Disebutkan dalam surah An-Nisaa’ ayat 142, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat itu) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.”
Riya’ juga merupakan salah satu cabang dari kemusyrikan. Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya yang paling aku takuti pada kamu adalah syirik kecil.” Sahabat bertanya, “Apa itu syirik kecil, wahai Rasulullah?” Rasulullah saw. menjawab, “Riya’. Allah berkata di hari kiamat ketika membalas amal-amal hamba-Nya, `Pergilah pada apa yang kamu berbuat riya’ di dunia dan perhatikanlah, apakah kamu mendapatkan balasannya?’ ” (HR Ahmad).
Orang yang berbuat riya’ pasti mendapat hukuman dari Allah swt. Orang-orang yang telah melakukan amal-amal terbaik samada mereka itu mujahid, ustaz dan orang yang sentiasa berinfak, semuanya diseret ke neraka kerana amal mereka tidak ikhlas kepada Allah. Sabda Rasulullah saw., “Siapa yang menuntut ilmu, dan tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan perhiasan dunia, maka ia tidak akan mendapatkan wangian syurga di hari akhirat kelak.” (HR Abu Dawud)
Ciri-Ciri Orang Yang Ikhlas
Orang-orang yang ikhlas memiliki ciri-ciri yang dapat dilihat, diantaranya:
1. Sentiasa beramal dan bersungguh-sungguh dalam beramal, baik dalam keadaan bersendirian atau bersama orang ramai, baik ada pujian ataupun celaan. Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Orang yang riya’ memiliki beberapa ciri; malas jika bersendirian dan rajin jika di hadapan orang ramai. Semakin berghairah dalam beramal jika dipuji dan semakin berkurang jika dicela.”
Perjalanan waktulah yang akan menentukan seseorang itu ikhlas atau tidak dalam beramal. Dengan melalui berbagai macam ujian dan cubaan, baik yang suka mahupun duka, seseorang akan terlihat kualiti keikhlasannya dalam beribadah, berdakwah dan berjihad.
Al-Qur’an telah menjelaskan sifat orang-orang beriman yang ikhlas dan sifat orang-orang munafik, membuka penipuan dan keburukan orang-orang munafik dengan berbagai macam cirinya. Di antaranya disebutkan dalam surat At-Taubah ayat 44-45, “Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keragu-raguannya. “
2. Terjaga dari segala yang diharamkan oleh Allah, baik dalam keadaan bersama manusia atau jauh dari mereka. Disebutkan dalam hadits, “Aku beritahukan bahwa ada suatu kaum dari umatku datang di hari kiamat dengan kebaikan seperti Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya seperti debu-debu yang berterbangan. Mereka adalah saudara-saudara kamu, dan kulitnya sama dengan kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu. Tetapi mereka adalah kaum yang jika bersendirian akan melanggar apa yang diharamkan Allah.” (HR Ibnu Majah)
Tujuan yang hendak dicapai oleh orang yang ikhlas adalah ridha Allah, bukan ridha manusia sehingga mereka sentiasa memperbaiki diri dan terus beramal, baik dalam keadaan bersendirian atau ramai, dilihat orang atau tidak, mendapat pujian atau celaan kerana mereka yakin Allah Maha melihat setiap amal baik dan buruk walau sekecil manapun.
3. Dalam dakwah, akan terlihat bahwa seorang da’i yang ikhlas akan merasa senang jika kebaikan dapat direalisasikan di tangan saudaranya sesama da’i, sebagaimana dia juga merasa senang jika terlaksana oleh tangannya.
Para da’i yang ikhlas akan menyedari kelemahan dan kekurangannya. Oleh kerana itu mereka sentiasa membangun amal jama’i dalam dakwahnya, mengukuhkan wasilah dan sistem dakwah. Berdakwah untuk kemuliaan Islam dan umat Islam, bukan untuk meraih populariti dan membesarkan diri atau kelompoknya semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan