Ahad, 25 April 2010

Pengetahuan tentang ibarat atau perumpamaan mukaddimah kepada penerangan tentang perumpamaan misykaat, lampu, kaca, pokok, minyak dan api.

B. Kaji Jiwa atau Ruh Manusia: Lima kebolehan jiwa.


Dengan tahunya kita berkenaan peringkat-peringkat ruh atau jiwa manusia yang bersinar itu, maka dapatlah kita tahu pula perumpamaan atau kias yang dikemukakan oleh ayat An-Nur dalam Al-Qur'an itu.

Yang pertama. Ruh (jiwa) deria (pancaindera).

Ini ialah penerima maklumat yang dibawa oleh deria. Inilah akar atau asal jiwa binatang dan menegakkan sifat-sifat jenis binatang. Ruh ini ada juga pada bayi yang masih kecil.

Yang Kedua. Jiwa khayalan.

Ini ialah perakam maklumat yang dibawa oleh deria. Disimpannya maklumat itu dan disediakan untuk dikemukakan kepada Jiwa atau Ruh Akal di peringkat atasnya, apabila maklumat itu dikehendaki. Jiwa ini tidak ada pada bayi pada permulaan pertumbuhannya(evolosi). Inilah sebabnya seseorang bayi itu hendak/akan memegang sesuatu benda apabila dilihatnya, dan ia akan lupa kepada benda itu apabila ianya hilang daripada pandangannya. Tidak ada pertelingkahan (konflik) kehendak timbul dalam jiwa atau ruhnya kepada benda yang tidak ada pada pandangannya, hinggalah ia meningkat umur sedikit. Maka di kala itu mulalah ia menangis hendakkan sesuatu benda yang dipegang itu kerana bayangan benda itu ada padanya, tersimpan dalam khayalannya. Kebolehan ini ada pada setengah-setengah binatang, tetapi bukan semua binatang. Misalnya kelkatu yang membakar dirinya dalam api. Kelkatu itu pergi menuju api kerana ia berkehendakkan cahaya matahari. Di sangkanya api itu tingkap yang terbuka menuju cahaya matahari. Maka terbanglah ia menuju api itu dan membakar dirinya. Jika kelkatu itu terbang menuju tempat gelap, ia akan berbalik terbang ke belakang semula berkali-kali. Sekirannya ia ada jiwa yang dapat mengekalkan ingatan rasa sakit itu yang disampaikan oleh deria perasa, maka tidaklah ia mahu kembali menuju api itu setelah ia dicederai oleh api tersebut. Sebaliknya anjing, setelah menerima pukulan sekali dengan kayu, akan lari apabila sahaja ia melihat kayu.

Yang Ketiga. Jiwa Akal.

Ruh atau jiwa ini mengetahui idea-idea yang melebihi sempadan bidang deria dan khayalan. Kebolehan ini hanya khusus ada pada manusia dan tidak ada pada binatang dan anak-anak. Benda-benda yang diketahui oleh deria ini adalah kebenaran yang dipakai dengan menyeluruh dan pasti, sebagaimana telah kita terangkan dalam bahagian berkenaan cahaya akal yang mana itu lebih diutamakan daripada cahaya mata.

Yang Keempat. Jiwa yang memikirkan dan membuat kesimpulan.

Jiwa ini mengambil data-data dan butir-butir tentang bicara akal atau idea dan mengumpulkannya dan menyusunkannya sebagai pokok pemikiran dan diri situ diambilnya sesuatu maklumat. Kemudian diambil pula dua kesumpulan dan dicampur lagi dan diambil kesimpulan yang baru dan begitulah seterusnya tanpa had batasan.

Yang Kelima. Ruh Kenabian yang maha tinggi.

Ruh ini ada pada Nabi-nabi dan beberapa orang Aulia Allah. Dengan ruh ini, perkara-perkara ghaib dalam Alam Tinggi sana dapat mereka lihat bersama dengan beberapa pengetahuan langit dan bumi serta Ilmu Ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh Jiwa Akal dan Jiwa yang membuat kesimpulan itu. Inilah yang dimaksudkan oleh ayat Al-Qur'an yang lebih kurang maksudnya;

"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu dengan satu ruh dari Qudrat Kami; Kamu tidak tahu Al-Kitab atau Al-Iman tetapi Kami jadikan ruh itu satu cahaya yang dengannya Kami bimbing sesiapa yang Kami Kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan kamu sesungguhnya dibimbing pada jalan yang lurus".

Oleh itu, ingatlahwahai orang-orang yang hanya berhenti dan berpuashati dengan akal fikiran sahaja. Tidakkah ada peringkat yang lebih tinggi lagi dari peringkat akal yang boleh melihat apa yang terlihat di dalam bidang akal?; sebagaimana juga bidang akal itu lebih tinggi dari bidang deria dan dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh deria?. Tidakkah ada yang lebih tinggi daripada akal itu? Hati-hatilah jangan berhenti setakat itu sahaja dan menyangka sempurna.

Perhatikan pula tentang kebolehan ilham yang didapati oleh penyair atau penyajak. Jika saudara hendakkan contoh daripada pengalaman harian yang biasa dapat dilihat, ianya dapat diperhatikan dari kurniaan khusus yang ada pada beberapa orang sahaja. Kurniaan yang berharga ini adalah khusus diberikan kepada mereka padahal orang lain tidak berpeluang mendapat kurniaan itu. Bukankah luarbiasa kebolehan ilham yang ada pada beberapa orang hamba Allah hingga mereka dapat mengeluarkan muzik dan irama yang menggoncangkan jiwa; menimbulkan perasaan, suka, duka, sedih, pilu, geram, memberansangkan dan sebagainya. Kesan-kesan dari perasaan ini hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang dikurniai dengan kebolehan tersebut. Orang yang tidak ada kebolehan ini hanya setakat mampu mendengar dan melihat sahaja. Mereka tidak dapat mengalami dan merasai kesan perasaan itu. Bahkan sekiranya semua ahli bijak pandai dalam dunia ini membuat satu persidangan dengan tujuan hendak membuat seseorang itu mengetahui dan memahami maksud rasa muzik itu, nescaya mereka tidak akan berjaya berbuat demikian.

Inilah satu contoh yang mudah saudara faham. Sekarang gunakanlah ini pula kepada perkara Kenabian dan berjuanglah dengan ikhlas untuk menjadi seorang daripada golongan mereka yang mengalami dan merasai sedikit ruh Kenabian itu. Aulia Allah khususnya telah merasai sebahagian besar daripada pengalaman keruhanian Kenabian ini. Jika saudara tidak dapat mencapainya, cubalah pula melalui disiplin perumpamaan dan ibarat yang dikemukakan di muka surat terdahulu yang akan menjadi seorang daripada golongan mereka yang memahami perkara ini secara saintifik (secara ilmu pengetahuan).

Jika ini pun saudara tidak berupaya, maka cukuplah dengan hanya mempercayainya. ("Allah meninggikan darjat orang-orang yang percaya(beriman) di kalangan kamu, dan mereka yang mendapat ilmu dengan beberapa darjat")- Al-Qur'an.

Ilmu saintifik itu berada di atas peringkat percaya dan pengetahuan mistik(pengalaman keruhanian) itu di atas peringkat ilmu tersebut Bidang pengalaman keruhanian itu ialah "rasa". Bidang ilmu ialah budi bicara akal. Bidang kepercayaan itu ialah hanya menerima sahaja apa yang dipercayai dan dianuti oleh ibu-bapa dan nenek-moyang, serta dengan sikap tidak syak wasangka terhadap dua kelas atau golongan di atas tadi.

Sekarang tahulah saudara lima ruh atau jiwa manusia. Kita teruskan sekarang perbincangan kita. Semua itu adalah cahaya kerana melalui ruh-ruh itulah, segala benda-benda yang wujud itu boleh terlihat; termasuk perkara-perkara di dalam deria dan khayalan. Meskipun binatang-binatang nampak benda-benda itu, tetapi manusia mempunyai kebolehan yang lebih halus dan lebih tinggi kerana kebolehan-kebolehan itu dijadikan untuk manusia menggunakannya untuk tujuan yang lebih tinggi dan mulia yang berbeza daripada binatang. Bagi binatang, kebolehan memandang itu dijadikan sebagai alat untuk mencari makan dan untuk menundukkan mereka itu bagi manusia. Tetapi bagi manusia, kebolehan memandang tersebut adalah bertujuan untuk mempelajari dan mengkaji ilmu-ilmu keagamaan. Misalnya seseorang ini mungkin memandang dengan deria lihatnya seseorang yang lain dan akan memahami melalui akalnya, idea yang menyeluruh dan mutlak sebagaimana kita lihat dalam contoh diberikan mengenai Abdullah bin Auf itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan